Pedidikan Bermula Dari Peringkat Awal

dPuncak Homestay
0
Melentur buluh biar dari rebung
ISLAM menjadikan ilmu pengetahuan penggerak utama mencapai maksud merubah kehidupan ke arah lebih baik. Ilmu diangkat ke tahap paling tinggi kerana tanpa ilmu pengetahuan, segala kegiatan akan menemui kegagalan dan tidak sampai kepada matlamat sebenar, iaitu mencari keredaan Allah

Menurut Islam, ilmu pengetahuan adalah kayu ukur yang jelas bagi membezakan antara seseorang dengan yang lain. Ini dijelaskan melalui firman Allah bermaksud :


Katakanlah, adakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)


Selain itu, ilmu pengetahuan juga alat bagi mencapai tahap keimanan sempurna dan pengukur ketakwaan seseorang kepada penciptanya. Ilmu dan iman tidak dapat dipisahkan. Kedua-duanya saling berhubungan dan saling mempengaruhi.


Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. 


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : "Tuntutlah ilmu sejak dari buaian hingga ke liang lahad"


Hadith tersebut mengalakkan kita menunut ilmu sejak buain lagi. Maknanya proses pembelajaran itu bermula sejak seseorang itu dilahirkan di dunia.


Perkataan al-mahdi (buaian) hendaklah diterjemahkan sebagai rahim ibu. Bayi yang berada di dalam rahim ibunya akan merasa seperti berada dalam buaian bergantung kepada pergerakan ibunya. Mungkin anda masih teringat tentang surah-surah pilihan yang sunat diamalkan oleh ibu-ibu yang hamil, menjaga bercakapan dan perangai dan selalu membelai anak di dalam rahimnya. Semua ini bertujuan untuk mendidik bayi tersebut supaya menjadi anak yang baik dan soleh apabila dilahirkan ke dunia kelak. Jadi, pendidikan itu bermula sejak dari alam rahim lagi.



Pendidikan Awal, Penjana Pembangunan Modal Insan Berkualiti

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Suatu ketika dahulu, tidak ramai kalangan ibu bapa yang dengan 'rela hati' akan menghantar anak mereka mendapatkan pendidikan awal kerana beranggapan ia tiada satu kewajaran.


Bagi mereka, masa kanak-kanak itu lebih sesuai diberi kebebasan bermain sepenuhnya ekoran menyimpulkan dunia pembelajaran hanya akan bermula sebaik sahaja anjakan komuniti comel ini mencecah umur lima atau enam tahun.


Rasionalnya, apa salahnya kanak-kanak ini bermain kerana sebaik sahaja melangkah ke alam persekolahan, masa dan aktiviti mereka akan dipenuhi dengan kalendar akademik pula.


Itu kata sesetengah ibu bapa yang berfikiran sedemikian yang mungkin berpunca daripada kekangan informasi, pendedahan mengenai kepentingan pendidikan awal atau prasekolah.


Bagaimanapun, itu semua sudah menjadi satu lipatan sejarah mentaliti manusia. Sejajar dengan pelbagai paradigma dan pengenalan kepada dunia tanpa persempadanan, pusat prasekolah kini meriah diwujudkan atas peningkatan permintaan.


Tidak kiralah bertunjangkan pengendalian kerajaan mahupun swasta, ibu bapa hari ini sudah mula 'celik hati, mata' akan kepentingan pendidikan awal.


Namun begitu, pendidikan awal yang dilihat sebagai platform pengaktifan intelektual kanak-kanak ini bukankah sedikit sebanyak menidakkan masa riang mereka sekali gus membebani komuniti comel ini dengan tekanan pembelajaran pada waktu sangat muda?


BELAJAR MELALUI PERMAINAN


Kalau dipanjangkan persoalan ini kepada ibu bapa, semestinya hadiah tidak ternilai harganya adalah melihat potensi anak kecil mereka dalam menerokai dunia baru perkembangan minda menunjukkan kesan sangat positif.


Ibu bapa mana tidak terukir senyumannya apabila melihat minda dan tutur kata bibir comel anak mereka begitu pantas menguasai pembacaan, pengiraan serta penulisan dengan baik hasil daripada pendidikan awal.


Ibarat kata peribahasa lama melentur buluh biarlah daripada rebungnya.


Begitu jugalah dengan minda manusia ini yang mana proses pengintelektualan adalah sebaiknya dimulakan sejak awal dan tiada istilah 'pembebanan' mahupun 'penekanan', kata Anggota Lembaga Penasihat Yayasan Harapan Kanak-Kanak Malaysia Datuk Atikah Adom.


"Kita bukannya suruh mereka ini belajar... tetapi mengetengahkan konsep 'learn through play' kerana mereka ini adalah kanak-kanak.


"Ini yang kita tekankan kerana ada ibu bapa hendak anak mereka pandai belajar. Kanak-kanak tetap kanak-kanak... Biarkan mereka bermain dan dalam masa sama kita ajar dia dengan bercerita untuk tarik minat membaca buku," katanya kepada Bernama.


Lagipun, pusat pendidikan awal seperti tadika yang membuka pintu gerbangnya kepada kanak-kanak berusia empat tahun ataupun taska sejak daripada umur dua tahun tidaklah dipenuhi dengan rutin alam pembelajaran yang membosankan.


Kaedah penerokaan ilmu disesuaikan dengan peringkat umur serta pelbagai elemen menarik dan terkini bagi mencambah minat anak kecil ini untuk belajar dan sebagai asas kukuh memudahkan mereka menerima pendidikan formal di sekolah rendah nanti.


PENTING SANGATKAH PENDIDIKAN AWAL?


Pendidikan awal tidaklah sekadar menjurus kepada proses pengintelektualan minda semata-mata atau dalam erti kata lain menjadikan anak anda seorang pencinta buku sahaja.


Malahan, ia adalah awalan penjana untuk melahirkan generasi yang benar-benar dilengkapi dengan keperluan melangkah status negara maju merangkumi penguasaan komunikasi yang baik, pemikiran kreatif, analitikal dan inovatif.


Pelbagai kajian dijalankan bagi membuktikan kebenaran ini. Antaranya, satu kajian di United Kingdom membuktikan bagaimana kanak-kanak yang menerima pendidikan awal berkualiti selama dua tahun mampu menghasilkan kadar rangsangan enam bulan kepada prestasinya pada usia tujuh tahun.


Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula dipetik berkata lingkungan usia bawah 5 tahun adalah sangat penting kerana kajian menunjukkan bagaimana persekitaran emosi, fizikal dan intelek yang didedahkan kepada kanak-kanak pada tahun awal kehidupan mereka memberi kesan cukup mendalam terhadap cara otak berkembang.


Justeru, tidak menghairankan apabila ramai ibu bapa hari ini menjadikannya (penghantaran ke prasekolah) sebagai perkara utama dalam proses tumbesaran dan didikan anak mereka.


TERAPAN MODAL INSAN


Biarpun begitu, tidak ramai ibu bapa yang menyedari bahawa pelaburan jangka panjang ini (penghantaran anak-anak ke prasekolah) juga sebenarnya mampu menerapkan elemen murni dalam sahsiah kanak-kanak.


Pembangunan modal insan dengan nilai-nilai kekayaan masyarakat timur semenjak awal dalam keperibadian diri anak dapat dijadikan sebagai 'benteng' daripada mudah terjerumus dengan pelbagai gejala sosial, kata Atikah.


Di tambah pula, senario hari ini yang membolehkan pelbagai budaya diasimilasikan dalam kehidupan masyarakat tanpa adanya erti segan dan silu, cabaran hebat ini menuntut kepada kepentingan pendidikan agama, hubungan sesama bangsa dan nilai-nilai murni lain.


"Kita tengok banyak gejala sosial yang berlaku. Tetapi, kalau kita katakan 'membendung lebih awal itu lebih baik', dengan menghantar anak terima pendidikan awal, saya rasa isu begini (gejala sosial) dapat ditangani," katanya.


TETAPI YANG MANA SATU?


Akan tetapi, timbul persoalan pusat pendidikan awal manakah yang berkualiti?


Penguraian kesulitan ini sedikit sebanyak menerbitkan sikap 'cerewet' dalam sanubari ibu bapa yang tercetus hasil daripada keinginan hanya terbaik dan berkualiti sahaja diberi kepada anak mereka.


Lantas, mereka membandingkan reputasi antara tadika di bawah kendalian kerajaan atau swasta sebelum pemilihan dilakukan.


Namun demikian, pengenalan program Permata Negara hasil ilham isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah membawa 'sinar baru' dalam dunia pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.


Berteraskan kepada tema 'Setiap Anak Permata Negara', program yang diperkenalkan pada tahun 2007 ini menyasarkan golongan kurang bernasib baik, kumpulan luar bandar dan miskin bandar, selain keutamaan kepada individu daripada keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM1,500 sebulan.


"Dengan adanya Permata Negara, kesedaran tentang pendidikan awal kian meningkat dan kini (pendidikan awal) menjadi satu perkara penting dalam negara," kata Atikah.




KINI DIBUKUKAN


Ia bersifat holistik serta menerapkan pembelajaran menyeronokkan hasil adaptasi daripada model Pen Green Centre, sebuah program di Corby, England yang kemudian disesuaikan dengan budaya masyarakat setempat.


Mereka didedahkan dengan teknik pembelajaran berkonsepkan eksperimen, penerokaan, pengalaman dan interaksi sosial.


Istimewanya, Permata Negara menunjukkan keberkesanannya dalam melahirkan atau membangunkan modal insan kanak-kanak menerusi lima pecahan di bawah program berkenaan iaitu Permata Negara, Permata Pintar, Permata Seni, Permata Insan dan Permata Memperkasakan Remaja.


Ini dapat dilihat apabila program ini berjaya mewujudkan lebih 50 Pusat Anak Permata Negara dan pada masa sama 654 taman asuhan kanak-kanak (Taska) seluruh negara kini mengguna pakai kurikulum Permata Negara.


Melihat kepada keberkesanan Permata Negara, ia kini didokumentasikan dalam bentuk 'coffee table book' bertajuk 'Setiap Anak Permata Negara' dan boleh dijadikan sumber inspirasi terutama kepada ibu bapa mengenai kepentingan
pendidikan awal.


Mengenai kejayaan program Permata negara yang dinaungi Rosmah, buku setebal 180 halaman, yang kini berada dalam pasaran, boleh didapati dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris dengan memuatkan koleksi gambar dan teks perjalanan program berkenaan.


Rosmah menerusi kata-kata aluannya dalam buku itu menegaskan bahawa pendidikan anak adalah satu pelaburan bijak bersifat jangka panjang khususnya bagi membina modal insan berkualiti untuk pembangunan berterusan sesebuah negara.


Sememangnya, anak adalah aset yang amat berharga. Tanpa didikan sempurna, tidak mungkin 'anak-anak' ini berupaya menjadi agenda pembangunan negara.


Seperti kata Rosmah dalam bukunya itu, "Justeru, mendidik anak dengan betul adalah perkara yang mesti kita laksanakan, bukan sekadar untuk kebaikan mereka, tetapi juga demi masa depan negara,".


-- BERNAMA 


Rujukan:

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
Post a Comment (0)

#buttons=(Accept !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Learn More
Accept !
To Top