KUALA LUMPUR (Bernama) -- Empat peraturan baharu adalah antara pelbagai
penambaikan yang akan dilaksanakan pada pilihan raya umum ke-13 bagi
memastikan ketelusan dalam proses pengundian.
Empat peraturan baru itu ialah penggunnan dakwat kekal; pengundian awal
oleh anggota polis dan tentera menggantikan undi pos; membenarkan orang
kelainan upaya (OKU) membawa orang dipercayai untuk membantu semasa
pengundian, serta pemansuhan proses bantahan dan penarikan balik
pencalonan.
Peraturan-peraturan itu dilaksanakan berikutan pindaan terhadap
Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981
(Pindaan) 2012 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos)
2003 (Pindaan) 2012.
Ia diwartakan tahun lepas.
Peraturan dakwat kekal mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi
untuk dicalit jari telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi.
Bagi pengundi yang enggan mematuhi peraturan itu, kertas undi tidak akan
dikeluarkan kepada mereka.
Selain itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) buat julung kali
memperkenalkan pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangannya,
Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan serta anggota polis yang tidak
dapat mengundi pada hari sebenar.
Penguatkuasaan peraturan itu melibatkan 273,819 pengundi yang terbahagi
kepada 163,017 dari pihak tentera manakala baki 110,802 dari pihak
polis.
Selain anggota pasukan keselamatan, rakyat Malaysia di luar negara yang
memenuhi syarat ditetapkan juga buat pertama kali dibenarkan mengundi
awal melalui kaedah undi pos.
Tiga syarat itu adalah mereka mestilah merupakan pemilih berdaftar dan
pernah berada di Malaysia atau kembali ke negara ini tidak kurang dari
30 hari dalam tempoh lima tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan
Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.
Rakyat Malaysia yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan
wilayah Kalimantan di Indonesia pula tidak layak menggunakan kemudahan
itu; dan perlu pulang mengundi di tanah air.
Menjelaskan kewajaran syarat-syarat tersebut, SPR dalam satu kenyataan
berkata ia bagi menunjukkan terdapat hubungan yang jelas antara
warganegara Malaysia dan tanah airnya.
SPR juga bersetuju untuk memansuhkan proses bantahan dan tempoh
penarikan balik pencalonan pada hari penamaan calon bagi memudahkan lagi
proses pada hari tersebut tanpa melibatkan bantahan yang tidak
munasabah.
Dengan pindaan ini, maka tempoh untuk SPR mencetak kertas undi menjadi
lebih cepat kerana tidak perlu menunggu 'tempoh bertenang' selama tiga
hari seperti yang diamalkan sebelum ini.
Dalam pada itu, OKU juga dibenar menamakan orang yang dipercayai untuk
membantu mereka menjalankan tanggungjawab membuang undi, dengan syarat
pihak yang dinamakan itu adalah seorang warganegara berumur 21 tahun dan
ke atas namun tidak semestinya berdaftar sebagai pemilih.
Buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya umum Malaysia, semua
petugas media termasuk wartawan, jurugambar, jurukamera dan juruteknik
yang bertugas di luar kawasan berdaftar mereka, juga layak memohon untuk
mengundi pos.
Pemilih berdaftar lain yang layak memohon undi pos ialah anggota SPR,
seseorang yang diakui sebagai pegawai atau petugas SPR, anggota polis
atau tentera yang bertugas pada hari mengundi awal.
Sementara itu, sebanyak 16 badan bukan kerajaan (NGO) turut dilantik
sebagai pemerhati bagi memantau perjalanan proses pilihan raya di
seluruh negara tahun ini, iaitu lima di Semenanjung, lapan di Sarawak
dan tiga di Sabah.
SPR dengan kerjasama Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan
juga bersedia memberi akses yang saksama kepada semua parti politik yang
bertanding pada PRU-13.
Setiap parti politik akan diberikan tempoh waktu bersiaran tertentu untuk menyiarkan manifesto parti masing-masing.
Berikut adalah elemen-elemen baharu lain yang dilaksanakan pada PRU-13:
- Tempoh berkempen tidak kurang 10 hari.
- Kedudukan wakil- wakil calon dalam bilik mengundi diubahsuai untuk melihat pengundi masuk ke tempat mengundi dengan jelas.
- Tempoh pameran Rang Daftar Pemilih dipanjangkan dari tujuh ke 14 hari.
- Portal PRU-13 (www.pru13.gov.my) diwujudkan untuk memberi maklumat terkini kepada rakyat.
- SPR tidak menyediakan khemah untuk penyokong parti yang datang pada hari penamaan calon.
-- BERNAMA
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.