Sepanjang 41 tahun berkhidmat dalam pasukan Polis DiRaja
Malaysia (PDRM), mantan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan dapat
melihat pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi oleh pasukan polis.
"Sekarang ini, banyak pihak sudah cabar integriti
pegawai kerajaan menjalankan tugas. Integriti KPN pun dicabar. Ini adalah satu
masalah untuk negara kita," kata Musa.
Gambar hiasan |
Musa, yang kini berkhidmat sebagai pensyarah utama di Pusat
Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi (CMWIS) di Universiti Teknologi Mara
(UiTM) sempat berkongsi pengalaman yang dilaluinya melalui forum perdana
integriti anjuran peserta Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) siri
kesembilan baru-baru ini.
Forum ini dianjurkan sempena penganjuran Projek Pemantapan
Integriti (EIP), melibatkan kira-kira 70 peserta daripada sektor swasta dan
ahli Majlis Perwakilan Pelajar Politeknik Sultan Abdul Aziz Shah.
INTEGRITI DICABAR
Beliau kemudian menjelaskan bahawa beliau sendiri tidak
pasti sebab di sebalik tindakan sesetengah pihak yang memilih untuk menimbulkan
pelbagai isu, khususnya berkaitan pelaksanaan undang-undang.
"Adakah mereka memang tidak puas hati dengan isu yang
dibangkitkan atau memang sengaja mahu memburukkan imej kerajaan?" soal
beliau.
Musa turut menyentuh mengenai permainan sesetengah pihak
yang mencipta persepsi dalam kalangan anggota masyarakat terhadap
pegawai-pegawai kerajaan seolah-olah mereka (para pegawai kerajaan) tidak
berkredibiliti untuk melaksanakan tugas.
Inilah antara cabaran yang dihadapi anggota PDRM sejak
beberapa lama. Cabaran ini menjadi semakin berat selari dengan perkembangan
semasa yang semakin mencabar.
PELUANG MEMBINA SEMULA IMEJ
Mungkin ramai yang masih ingat pada 2005, PDRM menerima 125
cadangan penambahbaikan daripada Suruhanjaya DiRaja.
Antara perkara yang dibangkitkan dalam dokumen itu ialah isu
rasuah, kelengkapan anggota yang tidak cukup, suasana tempat kerja yang teruk,
penggunaan teknologi terkini dan pematuhan hak asasi manusia dalam
tindakan-tindakan PDRM.
Turut dicadangkan, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan
Salahlaku Polis (IPCMC).
Jadi sebelum penubuhan IPCMC menjadi kenyataan, Musa
mengambil tindakan awal untuk memperbaiki imej pasukan polis, dimulai dengan
isu rasuah.
Dari sinilah datangnya inisiatif pemakaian lencana 'Saya
Anti Rasuah' yang dikuatkuasakan kepada semua anggota PDRM.
"Rasionalnya mudah, saya mahu semua anggota berasa malu
jika mereka berniat meminta rasuah. Lencana itu ada untuk dilihat orang
ramai," kata Musa.
Meskipun ada pihak yang memperlekeh tindakan ini, Musa
berkata ia sesuatu yang amat diperlukan ketika itu. Sewaktu kepercayaan rakyat
kepada PDRM semakin menipis, ia membuktikan kesungguhan pasukan polis untuk
memerangi gejala ini.
MULA DARI KEPALA
Memetik kata-kata hikmat orang Cina yang berbunyi 'ikan
membusuk bermula dari kepalanya', Musa menegaskan satu-satunya cara untuk
menyemai nilai integriti dalam kalangan anggota polis mesti bermula dari
peringkat atas.
"Waktu saya jadi KPN, saya naik motosikal Honda Cup
saya, ronda ke balai-balai. Saya intai dahulu apa mereka buat, kemudian baru
masuk balai untuk periksa kerja mereka. Lebih bagus kalau menyamar macam ini,
kalau tidak mereka akan berlakon," jelas beliau.
Musa menambah, beliau mengambil pendekatan terbuka bila
timbul cerita di blog-blog kononnya beliau adalah KPN terkaya kerana melindungi
'king pins' yang terdiri daripada ketua gangster, sendiket pelacuran dan dadah.
Beliau buat laporan polis dan memohon kepada SPRM agar
dirinya disiasat, terutama jika benar ada wang haram yang masuk ke akaun
beliau.
BIAR SENYAP, ASALKAN KERJA JALAN
Musa turut menyentuh mengenai kepentingan untuk membuktikan
integriti pasukan polis melalui hasil kerja.
Dalam masa sama beliau turut mengakui, risiko menjadi mangsa
tohmahan sekiranya seseorang cuba menjalankan kerja dengan baik, kerana akan
dituduh mengganggu periuk nasi orang lain.
"Tidak perlu diumumkan. Jika diumumkan yang anda akan
melakukan serbuan, sebenarnya anda memberitahu penjahat itu mengenainya dan
mereka akan bersiap sedia. Lakukan sahaja secara senyap. Tangkap ketuanya,
lepas tangkap baru buat pengumuman," katanya.
Menggunakan cara ini, pasukan polis berjaya menangkap
sembilan individu berpangkat Datuk yang terlibat dalam aktiviti gangsterisme,
pelacuran dan dadah.
Musa menggunakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan
Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 yang lebih dikenali sebagai Akta 613 untuk
mengambil tindakan terhadap penjenayah-penjenayah ini.
Akta ini membolehkan pihak polis memasuki, menggeledah,
menyoal siasat dan menyita harta milik suspek tanpa waran geledah.
DIDIKAN KELUARGA
Musa menceritakan, elemen integriti dalam diri beliau
dipupuk bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, seorang guru agama yang amat terkenal.
Untuk rekod, Hassan adalah individu yang melaungkan azan
sewaktu pengisytiharan kemerdekaan Malaya pada 1957.
Perkara paling utama yang diajar bapa beliau ialah supaya
jangan menipu walau dalam apa juga keadaan. Musa berpegang kuat kepada perkara
ini dalam kehidupannya.
"Ayah saya amat marah bila mengetahui saya menjadi
anggota polis. Kata beliau, nanti jadi syaitan," cerita Musa, membuktikan
persepsi buruk terhadap polis telah lama wujud.
Beliau kemudian berjanji kepada ayahnya bahawa tindakan
menyertai pasukan polis adalah semata-mata kerana Allah dan mahu mengubah
pasukan ini jika diberi peluang oleh Allah.
Inilah peluang yang beliau gunakan sebaiknya sepanjang
berkhidmat sehinggalah persaraannya pada Oktober 2010.
PENGALAMAN KISAH MENARIK
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan Musa ialah pada
tahun 1969, beliau ditawarkan rasuah bernilai RM700 oleh indi vidu yang
memiliki pusat perjudian.
Beliau menolak tawaran itu.
"Kena tahu bahawa RM700 pada 1969 ialah satu jumlah
yang besar. Dia kata, dia dah bagi kepada semua pegawai lain, tinggal saya
sahaja yang belum diberi. Saya jawab, baik ambil semula wang atau saya akan
tangkap beliau. Terus tak jadi bagi wang," cerita beliau.
Satu lagi pengalaman yang tidak dapat dilupakan beliau ialah
sewaktu menjadi pegawai penyiasat kes berprofil tinggi melibatkan individu
bergelar Datuk Seri.
Mendapati dirinya disiasat, tokoh ini cuba menggunakan
pengaruhnya dengan menyuruh Musa melaporkan perkembangan siasatan setiap hari
kepada beliau.
Bila Musa menolak, individu ini cuba menggunakan pengaruhnya
ke atas pegawai atasan Musa, dengan tuduhan bahawa Musa tidak menghormati
beliau.
"Inilah masanya kita kena pandai menggunakan peruntukan
undang-undang. Dalam undang-undang, saya hanya perlu melapor kepada pegawai
atasan saya sahaja. Tidak ada kewajipan untuk saya melayan kehendak mana-mana
pihak lain, tambahan pula mereka adalah suspek siasatan saya," tegas Musa.
-- BERNAMA