MALAYSIA telah mencapai kemerdekaan lebih 59 tahun dan sejak itu perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dinafikan. Dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, bahasa Melayu terus menjadi bahasa terpenting di negara ini.
Perkembangannya cukup menggalakkan malah hingga satu
peringkat, bahasa Melayu berjaya menjadi bahasa ilmu tinggi di universiti
dengan mencakupi semua pelbagai disiplin ilmu termasuk perubatan, sains dan
teknologi.
Perkara itu diakui sendiri oleh Felo Utama Institut Alam
Sekitar dan Pembangunan (Lestari), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof.
Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo yang juga bekas Naib Canselor Universiti
Malaysia Terengganu (UMT) dalam satu pertemuan Jun tahun lalu.
Bagaimanapun perkembangan bahasa Melayu yang sepatutnya
sudah berada pada tahap yang boleh dibanggakan seolah-olah terbantut. Mutakhir
ini keadaan seperti itu tidak lagi berlaku. Yang pasti, bahasa Inggeris mula
mengambil peranan bahasa Melayu termasuk di universiti.
Apatah lagi dengan kegagalan kita menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa pertuturan secara menyeluruh sebagaimana kemampuan yang
ditunjukkan oleh bahasa Indonesia. Realitinya, sebahagian orang bukan Melayu di
negara ini gagal bertutur bahasa Melayu dengan fasih.
Melihat keadaan yang semakin meruncing itu, para pejuang
bahasa negara ini bangkit dan berusaha memperbetulkan keadaan. Bahkan Sultan
Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menyampaikan titah ucapan dalam
Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 6 Oktober tahun lalu
turut menyentuh isu serupa.
Dalam titah ucapan baginda, Sultan Nazrin mengingatkan
kembali wasiat keenam daripada tujuh wasiat Raja-Raja Melayu iaitu menetapkan
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Baginda turut mengingatkan negara harus bijaksana melakukan
perimbangan demi memastikan warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat
mahu membangunkan sumber manusia bersifat global.
Kebimbangan Sultan Nazrin itu kemudian disahut oleh pelbagai
pihak dan mengambil semangat titah ucapan baginda, Kumpulan Utusan, Majlis
Perundingan Melayu (MPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan
Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) telah menganjurkan Wacana Bahasa
Melayu Wasiat Keenam Raja-Raja Melayu di Dewan Besar Utusan Melayu (Malaysia)
Berhad Khamis minggu lalu.
Pelbagai isu yang melibatkan nasib dan masa depan Bahasa
Melayu disentuh oleh tiga ahli panel iaitu Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan
Sri Dr. Rais Yatim; tokoh akademik, Datuk Dr. Zainal Kling dan pengamal undang-undang,
Fatihah Iliani Jamhari. bekas Ketua Pengarah DPB yang juga tokoh akademik,
Datuk Dr. Firdaus Abdullah pula bertindak sebagai pemudah cara wacana.
Rais yang diberikan tanggungjawab sebagai ahli panel pertama
memulakan perbincangan dengan menyifatkan titah ucapan Sultan Nazrin itu
sebagai `jam loceng” kepada semua orang Melayu mengenai masa depan bahasa
Melayu yang tidak menentu.
Bagaimanapun agak malang apabila beliau mendapati orang
Melayu masih tidur lena dan enggan bangkit memartabatkan semula bahasa Melayu
yang semakin hari semakin lesu disebabkan oleh pelbagai faktor.
Contoh paling mudah katanya, kegagalan orang Melayu
menyokong industri akhbar Melayu hingga menyebabkan angkanya di pasaran jatuh
merudum.
Beliau kemudian membangkitkan persoalan mengenai situasi
tersebut dengan melontarkan pertanyaan, apakah tandanya ini? Rais kemudian
menjawab:”Tandanya bahasa kita tidak diminati lagi oleh orang kita sendiri.”
Rais juga menarik perhatian hadirin tentang jumlah ahli UMNO
yang mencecah tiga juta orang tetapi gagal menyokong industri akhbar Melayu
terutama Utusan Malaysia. Kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan
peraturan penggunaan bahasa Melayu di kawasan pentadbiran masing-masing, kata
beliau juga antara contoh bahasa itu tidak diletakkan pada kedudukan yang
sewajarnya.
Sebab itu, katanya, nama jalan, nama taman perumahan,
taman-taman dan gedung perniagaan langsung tiada intisari bahasa Melayu
sebaliknya dilebihkan bahasa Inggeris.
“Mengapa tidak diletakkan nama Jalan Meranti dan Jalan
Tebrau. Begitu juga nama-nama taman perumahan dan taman-taman. Harapan saya
ketua PBT terlibat mengambil tindakan sewajarnya,” ujarnya lagi.
Rais turut menegur DBP yang begitu mudah memasukkan ratusan
perkataan bahasa Inggeris yang diubah suai mengikut laras bahasa Melayu ke
dalam Kamus Dewan. Bagi beliau langkah DBP itu merobek keaslian bahasa Melayu
yang sememangnya mempunyai khazanah perkataan cukup banyak.
“Dahulu sebelum satu-satu perkataan dimasukkan ke dalam
Kamus Dewan, perkataan itu akan diuji untuk melihat kesesuaiannya. Malah jika
terdapat satu-satu perkataan itu tidak terdapat dalam negara ini, kita akan
mencarinya di Brunei, Indonesia, selatan Thailand dan Nusantara,” katanya.
Zainal pula mahu Ketua Pengarah DPB yang dilantik hendaklah
dalam kalangan mereka yang sanggup meletakkan leher untuk dipancung dalam
mempertahan dan memperjuangkan bahasa Melayu.
Selain itu beliau turut mengesyorkan setiap kanak-kanak
berusia 12 tahun diuji kefasihan mereka bertutur dalam bahasa Melayu sebelum
diberikan kad pengenalan biru.
Fatihah Iliani ketika membincangkan isu itu telah
mencadangkan pihak kerajaan menghapuskan sekolah vernakular dalam usaha
merapatkan jurang antara rakyat melalui sekolah satu aliran seperti mana
langkah yang diambil oleh Singapura.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/di-mana-kedudukan-bahasa-melayu-1.435020#ixzz5bt2h6zp3
Sumber image: David deterding [CC0], from Wikimedia Commons